
Pondok Darul Furqan mula ditubuhkan pada 25 Oktober 2012 bertempat di No. 80, Persiaran Sri Tambun 10, Taman Sri Tambun, 31400 Ipoh, Perak. Cetusan penubuhan yang diasaskan oleh YBhg. Ustaz Dr. Haji Mohd Zaini bin Shafiai, bertujuan menjadi nadi penggerak kepada pembudayaan keilmuan bertunjangkan al-Quran dan Sunnah, ketinggian nilai adab dan semangat keusahawanan dalam kalangan masyarakat Islam.
Pondok Darul Furqan memikul tanggungjawab yang besar dalam melaksanakan misi dan visinya yang memfokuskan tiga elemen utama iaitu penguasaan al-Quran, turath dan ekonomi institusi yang diwujudkan di bawah Yayasan Darul Furqan menawarkan sistem pendidikan al Quran bermula di peringkat rendah, pengajian turath di peringkat pondok, pengajian tinggi di peringkat kolej serta pusat latihan kemahiran keusahawanan.
Halatuju Pondok Darul Furqan adalah bagi memastikan penyebaran ilmu, dakwah dan tarbiyyah bertunjangkan Ahli Sunnah wal Jamaah dapat dipertahankan. Justeru, Universiti Al Azhar merupakan model dan mercu tanda dalam mencorak pendidikan al Quran, turath dan penguasaan ekonomi melalui pengembangan harta-harta infaq dan wakaf terus lestari.
Pondok Darul Furqan sentiasa komited bagi melahirkan generasi pewaris yang berdiri teguh sebagai benteng pertahanan aqidah dan penyebaran syiar Islam. Bagi merealisasikan hasrat ini, perlunya sinergi bersepadu oleh lapan kekuatan ummah yang terdiri daripada golongan al-umara’, ulama’ rabbani, al-agniya al kurama’ al-a’milin, as-syuhada’ ad du’at, dua as-solihin dan imra’atun solihah yang akan memacu kestabilan dan peradaban dunia Islam.
Sehubungan itu, berpandukan pertunjuk para alim, kepimpinan dan iltizam barisan penggerak, serta sokongan para Ansor, Pondok Darul Furqan akan terus berusaha memacu kualiti kerja yang professional, kompeten dan berhemah bagi menjamin keutuhan bangsa, agama dan tanah air.